asigment hubungan etnik-perlembagaan dan perkaitan dengan bahasa melayu



PENGENALAN PERLEMBAGAAN :

Perlembagaan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan serta prinsip sebagai asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara
Perlembagaan sesebuah negara boleh wujud dalam bentuk bertulis dan juga tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia adalah contoh perlembagaan bertulis. Contoh perlembagaan tidak bertulis ialah perlembagaan United Kingdom.
Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik. Ia menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas, telus dan adil serta menjamin taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada Negara.



SEJARAH PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA
                 
Perlembagaan Malayan Union (1946)


Setelah tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 , Parti Komunis Malaya(PKM) telah mengisi kekosongan politik di Tanah Melayu selama 14 hari. Kemudian, tentera British telah menamatkan keganasan tersebut dan mewujudkan Pentadbiran Tentera British (PTB) pada September 1945. Selepas itu, kerajaan Malayan Union telah diperkenalkan pada 1 April 1946. Malayan Union telah mendapat tentangan hebat daripada orang-orang Melayu kerana tujuan, cara penubuhan dan ciri-cirinya. Antara tujuan penubuhan Malayan Union adalah untuk mengurangkan dan mengawal kuasa politik orang Melayu kerana bekerjasama dengan pemerintahan Jepun. Cara penubuhannya pula secara autokratik tanpa memberi peluang kepada raja-raja Melayu untuk membincangkannya. Perlembagaan Malayan Union telah diselenggarakan oleh pihak British Colonial Office. Malayan Union diselenggarakan di England yang diusulkan oleh kerajaan 'Labour' yang memerintah pada masa itu.

Menurut Shamsul (2008), Perlembagaan Malayan Union 1946 mempunyai beberapa ciri. Pertama, kesemua 9 buah negeri Melayu serta Melaka dan Pulau Pinang disatukan sebagai sebuah tanah jajahan Inggeris yang diketuai oleh seorang Gabenor British dengan bantuan Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Majlis Perundangan. Kedua, Singapura dijadikan tanah jajahan berasingan di bawah kuasa seorang Gabenor British. Ketiga, Semua bidang kuasa raja-raja Melayu dalam kerajaan Malayan Union termasuk hak menentukan dasar luar negeri diambil alih oleh Gabenor . Keempat, Raja-raja Melayu walaupun diberi hak terhadap agama dan adat resam Melayu tetapi tidak mempunyai kuasa ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf ahli biasa dalam Majlis Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Kelima, Perlembagaan Malayan Union juga mengiktiraf taraf kerakyatan pendatang asing melalui lunas ‘Jus Soli’ mengikut kelahiran dan juga kelonggaran diberi kepada kaum pendatang yang memohon menjadi rakyat Malayan Union.





Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu(1948)

Melihatkan kesungguhan orang Melayu dalam menentang habis-habisan Kerajaan British, akhirnya pada Julai 1946, British mula bertolak ansur melalui penubuhan satu jawatankuasa kerja yang terdiri dari wakil-wakil UMNO, wakil raja-raja negeri Melayu dan wakil kerajaan British.
Tujuan penubuhan jawatankuasa tersebut adalah untuk menggubal satu perlembagaan yang baharu dan ianya telah dipersetujui melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian ini telah dimeterai di King House pada 21 Januari 1948.
Mengikut perjanjian ini, negeri-negeri Melayu Pulau Pinang dan Melaka menjadi Tanah Perlindungan British manakala Singapura tetap menjadi tanah jajahan mereka. Kedaulatan raja-raja Melayu juga dipulihkan. Manakala Kuasa Tertinggi British adalah di bawah Pesuruhjaya Tinggi yang dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Dewan Perundangan.
Melalui perjanjian ini syarat-syarat kewarganegaraan diperketatkan dan hak istimewa orang Melayu dipelihara. Akibatnya wujud ketidakpuashatian di antara kaum yang menyebabkan satu perjumpaan bagi membincangkan masalah tersebut telah diadakan di rumah Dato’ Onn dengan dihadiri Tan Cheng Lock, Thivai Singam (mewakili MIC), Malcolm McDonald, Ronald Braddel dan pemimpin-pemimpin lain. Perjumpaan ini bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum pada Januari 1948. Kebanyakan cadangan mereka dimasukkan ke dalam usul-usul perundangan yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan.
Melihatkan hubungan baik ini, British telah memperkenalkan Sistem Ahli iaitu dasar kepada berkerajaan sendiri. Melalui sistem ini, British melantik beberapa orang wakil warganegara Persekutuan Tanah Melayu Menjadi ahli dalam Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan yang diberi taraf menteri. Hal ini untuk memberi latihan kepada pemimpin tempatan bagi mendapatkan pengalaman memerintah secara demokrasi.

Perlembagaan Malaysia(1963)
Dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan, satu suruhanjaya telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menggubal satu perlembagaan bagi Tanah Melayu. Suruhanjaya ini dinamakan sebagai Suruhanjaya Reid sempena nama pengerusinya iaitu Lord William Reid. Suruhanjaya ini dianggotai oleh pakar-pakar perlembagaan dari negara-negara Komanwel. Hasilnya, beberapa pendapat, pandangan dan memorandum telah diterima daripada semua lapisan rakyat sehingga terbentuknya sebuah perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka.
Syor-syor dalam suruhanjaya ini menyentuh lima perkara iaitu kedudukan Sultan, parlimen, bahasa, agama dan hak orang Melayu. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka akan diketuai oleh seorang Sultan. Di samping itu, sistem kerajaan bersekutu yang sedia ada akan diteruskan dengan adanya kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Raja-Raja Melayu pula akan terus kekal sebagai ketua bagi negeri masing-masing manakala Melaka dan Pulau Pinang akan terus bergabung di dalam Persekutuan dan diketuai oleh seorang Yang Di Pertua (Gabenor). Sistem pentadbiran kerajaan adalah bercorak demokrasi dan Ahli Parlimen akan dipilih melalui pilihanraya umum untuk mewakili rakyat serta mengawal pentadbiran kerajaan.
Selain daripada itu, Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya bahasa Cina dan bahasa Tamil digunakan dalam Parlimen dan Dewan Negeri. Cadangan ini telah ditolak, tetapi membenarkan orang Cina dan orang India menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah manakala agama Islam tetap diterima sebagai agama rasmi Persekutuan.
Terdapat juga beberapa cadangan yang dipinda antaranya mengenai hak istimewa orang Melayu di mana hak keistimewaan ini mesti dipertimbangkan semula dari semasa ke semasa atas arahan Yang Di Pertuan Agong. Persetujuan menerima pindaan tersebut membuktikan bahawa masyarakat di Tanah Melayu mempunyai semangat bertolak ansur yang kuat dan utuh di kalangan rakyat pelbagai kaum.

Rentetan daripada itu, pada Januari 1956 Tunku Abdul Rahman telah mengetuai satu rombongan ke London untuk berunding dengan Kerajaan British bagi Penggubalan Perlembagaan Tanah Melayu Merdeka. Rundingan ini dipengerusikan oleh Lord Lennox Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British dan satu persetujuan telah dicapai mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Namun orang Melayu terpaksa berkorban memberi taraf kewarganegaraan secara longgar kepada bukan Melayu. Hasil daripada perundingan tersebut, pada 5 Ogos 1957 wakil kerajaan British dan Sultan-sultan menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang mengisytiharkan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Di mana Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang berdaulat, mengamalkan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri yang pertama. Upacara sambutannya telah diadakan di Stadium Merdeka dengan laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali.
Selepas beberapa tahun mencapai kemerdekaan, pada 27 Mei 1961 Tunku Abdul Rahman telah menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Ia bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis, mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik idea tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan Sabah yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri.
Kesannya, pada 17 Januari 1962 satu suruhanjaya dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri tersebut. Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie manakala Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.


Pada tahun 1962, pilihanraya telah diadakan buat pertama kalinya di Brunei dan Sabah. Walaubagaimanapun, tentangan yang berterusan daripada Filipina dan Indonesia telah menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada tahun 1963 yang turut melaporkan bahawa pandangan awam di mana rata-rata menyokong penubuhan Malaysia. Selepas melalui segala cabaran akhirnya Malaysia secara rasmi telah dibentuk pada 16 September 1963 di mana terdiri daripada Persekutuan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura, manakala Brunei pula telah menolak. Pengisytiharan tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam Persekutuan Malaysia iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong Ningkan. Namun pada tahun 1965, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia dan membentuk sebuah kerajaan sendiri yang merdeka.
Perlembagaan Persekutuan mempunyai 183 Perkara yang dibahagikan kepada 15 Bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan-peruntukan mengenai perkara seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, badan pemerintah, badan kehakiman, kewangan, pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri, kedudukan istimewa orang Melayu, tanah, pembangunan negara, perkhidmatan awam dan pilihan raya.











PETA MINDA BAGI KONSEP PERLEMBAGAAN :
 




































UNSUR-UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK
Unsur-unsur tradisi amat penting bagi mewujudkan identiti Malaysia dan memupuk persefahaman ke arah perpaduan. Dalam perlembagaan Malaysia, unsur  tradisional yang telah dibincangkan ialah, bahasa kebangsaan, agama persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta pemerintahan beraja. Berikut ialah antara unsur yang telah dibincangkan di dalam Perlembagaan Malaysia 1963 dalam memupuk hubungan etnik yang lebih kukuh di Malaysia kea rah pencapaian konsep 1 Malayasia:
1.    BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN (PERKARA 152)
            Fasal (1) Perkara 152 dalam Perlembagaan telah memaktubkan bahasa kebangsaan negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Berpadanan dengan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu diharapkan dapat menjadi penyatu kepada kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia. Hasrat ini merupakan hasrat murni tanpa menidakkan hak bangsa lain, seperti Cina dan India dalam mengekalkan hak mereka untuk berbahasa dalam bahasa ibunda masing-masing.
            Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah meresap ke dalam badan Perlembagaan sejak dahulu lagi sepertimana yang terkandung dalam Perkara 160(2) di mana orang Melayu dilambangkan dengan bahasa Melayu. Kenyataan ini juga dapat dilihat dalam peruntukan di bawah Perkara 10(4) yang turut meletakkan Bahasa Melayu sebagai antara perkara yang kedudukannya tidak boleh dipersoalkan atas nama kebebasan bersuara.
            Meskipun begitu, Perlembagaan menyedari bahawa kedudukan sedemikan tidak harus digunakan secara zalim dan digunakan sesuka hati. Justeru itu, sedikit kelonggaran dapat diperhatikan pada fasal tertentu di bawah Perkara 152 iaitu fasal (1)(a) dan 1(b) iaitu membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain asalkan ia tidak dalam konteks kegunaan rasmi. Hal ini berlaku sebelum merdeka lagi bahkan selepas merdeka. Cuma, terdapat beberapa perkara ataupun dasar dan undang-undang yang berlawanan dengan peruntukan dan amalanPerlembagaan telah dimulakan. Hal seperti inlah yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak.
Contohnya seperti yang termaktub dalam Seksyen 17(1) iaitu Menteri mempunyai kuasa mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di mana-mana institusi pendidikan lain. Peruntukan tersebut jelas menunjukkan bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mengalami perubahan.  Hal ini terjadi ekoran daripada pengiktirafan yang telah dibuat terhadap Institusi Pendidikan Swasta (IPS) sebagai sebahagian daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan melalui Seksyen 16 Akta 1996. Lantaran itu, IPS mempunyai pilihan dalam hal penggunaan bahasa pengantar sama ada untuk mengikut amalan sekolah kebangsaan atau sekolah jenis kebangsaan atau memohon pengecualian mengikut seksyen 17 akta berkenaan. Dalam konteks lain, IPS mempunyai kebebasan seluas-luasnya dalam menentukan penggunaan bahasa pengantar. Kelonggaran inilah yang merendahkan martabat bahasa Melayu sekali gus melemahkan pencapaian falsafah dan matlamat dasar pendidikan kebangsaan.    
            Hakikat yang sebenarnya pula, Seksyen 75 sebenarnya tidak memberikan apa-apa kuasa kepada Menteri dalam menghendaki pengajaran mata pelajaran tertentu yang relevan dalam konteks pendidikan bersepadu dan kenegaraan di peringkat menengah atas kerana Menteri hanya boleh meminta institusi pendidikan swasta untuk mengajarkan mata pelajaran bahasa kebangsaan apabila bahasa lain digunakan sebagai bahasa pengantar. Hal ini bermakna bahawa Menteri tidak diberi kuasa yang jelas untuk membolehkan pengajaran mata pelajaran bahasa Melayu diwajibkan. Selain itu, bahasa Melayu hanya diajarkan sebagai mata pelajaran tambahan di samping mata pelajaran lain yang diajarkan di institusi pendidikan tinggi swasta.    Kesan lain yang ketara ialah bahasa Melayu mungkin tidak mempunyai tempat dalam kurikulum pendidikan swasta kerana bukan sahaja boleh tidak menjadi bahasa pengantar tetapi boleh juga tidak menjadi bahasa wajib. Malahan, kedudukannya sebagai bahasa pilihan sebagai bahasa asing tidak disebut sama sekali. Oleh itu, di manakah letaknya kedudukan bahasa Melayu itu di negara kita sekarang ini?.   



2.    KEKUATAN BAHASA MELAYU
             Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik. Dalam Kitab Sejarah Melayu ada menyebutkan bagaimana para pedagang bertungkus lumus mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu.
            Dalam konteks hubungan antarabangsa, surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut menggunakan Bahasa Melayu yang menggunakan tulisan jawi. Ini membuktikan bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa Melayu yang akan mengajar mereka. Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan kepada kita betapa Bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna sehingga ke peringkat antarabangsa.
            Memandangkan Bahasa Melayu telah diguna sekian lama sebagai bahasa rasmi dan basahan, sebagai bahasa komunikasi dan persuratan maka Bahasa Melayu telah dipersetujui dan disepakati bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar menjadi bahasa kebangsaan bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957.Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana yang termuat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa bagi persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka. Maka sejak itu Bahasa Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah.Jelas sekali Bahasa Melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat digunakan bersama untuk mencapai matlamat perpaduan.


3.    PERKAITAN BAHASA MELAYU DENGAN KONSEP 1 MALAYSIA
            Bahasa Melayu memiliki banyak peranan. Salah satunya ialah bahasa perpaduan. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan merupakan perkara paling utama dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Perpaduan dapat diterjemahkan  sebagai satu proses yang menyatupadukan rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Tuntasnya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di dalam lingkungan satu kelompok manusia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama  di negara ini.
            Matlamat 1 Malaysia adalah ingin membentuk satu identiti masyarakat Malaysia melalui budaya dan aspek terpenting bagi melahirkan satu budaya melalui satu bahasa dan satu suara. Sejarah membuktikan bahawa perpaduan amatlah sukar dicapai oleh masyarakat pelbagai ras dan etnik tetapi perkara tersebut bukan mustahil. Salah satu contoh dapat diperhatikan melalui sistem pendidikan negara kita.
            Seperti yang kita semua sedia maklum, sistem pendidikan kebangsaan dipecahkan kepada dua model, iaitu sekolah yang berteraskan bahasa kebangsaan dan sekolah yang berteraskan bahasa lain, selain daripada bahasa kebangsaan. Sekolah yang berteraskan bahasa kebangsaan bermaksud sekolah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, manakala sekolah yang berteraskan bahasa lain merujuk kepada kategori sekolah jenis kebangsaan, seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang menggunakan bahasa Mandarin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar, selain bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran wajib diajarkan dan dipelajari.




Pembentukan sistem pendidikan yang sedemikian rupa adalah untuk menggantikan sistem pendidikan semasa zaman kolonial yang mempunyai empat sistem pendidikan yang terpisah, iaitu pendidikan Melayu, Cina, India dan Inggeris. Sekolah Melayu, Cina dan India ini dikenali sebagai sekolah vernakular. Sekolah-sekolah ini berbeza antara satu sama lainnya dari aspek bahasa pengantar, kurikulum, kandungan kurikulum yang digunakan, dan penawaran peringkat pendidikan yang ditawarkan. Bagi sekolah Melayu dan Tamil, pendidikan ditawarkan sehingga tahun enam sekolah rendah, manakala sekolah Cina sehingga menengah rendah, dan sekolah Inggeris pula sehingga peringkat tinggi.
            Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas Perang Dunia Kedua ialah mencari formula ataupun strategi bagi melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatupadu, yakni masyarakat majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia. Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan.
Selain daripada itu, bagi menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini  ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara semua kaum dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini. Tambahan pula, Ordianan Pelajaran 1957 memperakui dan mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama manakala Bahasa Melayu pula digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kaum dan menjadi wahana berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa di negara.




Mengambil iktibar terhadap keadaan yang berlaku semasa zaman kolonial itu, maka sekolah vernakular tidak diteruskan lagi. Hal ini adalah kerana, bagi sebuah negara yang merdeka dan ingin terus merdeka, kedamaian dan kemajuan negara bangsa menjadi agenda utama, dan penyatuan antara bangsa yang pelbagai ini telah diusahakan dengan pelbagai cara. Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuklah mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu pada semua peringkat sekolah, baik rendah mahupun menengah, dan diajarkan di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Lanjutan daripada usaha tersebut, perkembangan pendidikan terkini ialah pihak pemerintah akan mewujudkan sekolah wawasan untuk penyatuan bangsa dan sebagai ruang untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan bangsa.
Perancangan dan pelaksanaan sekolah wawasan yang menyatukan dua atau tiga buah sekolah rendah yang berlainan aliran di dalam kawasan yang sama, merupakan usaha terkini pihak pemerintah dalam merealisasikan hasrat negara bangsa. Dalam penubuhan sekolah wawasan ini, sekolah yang berlainan aliran akan berkongsi kemudahan asas, seperti padang, kantin, dan lapangan perhimpunan tanpa menidakkan peranan sedia ada sekolah jenis kebangsaan yang terpilih dalam kelompok pembentukan sekolah wawasan tersebut.
Secara eksplisitnya, pembentukan sekolah wawasan ini adalah untuk menyatukan dua atau tiga buah sekolah yang dahulunya berasingan menjadi satu. Secara implisitnya pula adalah untuk membentuk satu kesatuan pendidikan dalam jumlah yang lebih besar. Walaupun masih mengekalkan Kurikulum Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan, manakala sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, masing-masingnya mengekalkan bahasa Mandarin dan Tamil, situasi ini tidak menghalang usaha penyatuan ketiga-tiga bangsa tersebut.




Dengan penubuhan sekolah wawasan, usaha mewajibkan mata pelajaran bahasa Melayu tidak lagi dianggap sebagai usaha utama kerana usaha ini sememangnya telah dilaksanakan sejak sekian lama. Sebaliknya, usaha penyatuan dilaksanakan melalui kaedah yang baharu, iaitu melalui Perhimpunan Bulanan yang melibatkan kedua-dua atau ketiga-tiga buah sekolah. Dalam perhimpunan ini, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasminya, dan penggelompokan dua atau tiga buah sekolah berlainan aliran ini memudahkan usaha negara untuk menyatukan murid-murid ini dalam sebuah kesatuan.
Selain itu, 1 Malaysia sudah pastinya dapat diwujudkan melalui pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penyatuan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni seperti yang tercatat dalam matlamat Falsafah  Pendidikan Kebangsaan, iaitu ke arah  pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Selaras dengan konsep 1 Malaysia, bahasa Melayu bukan sahaja mampu menyampaikan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar sebagai bahasa persatuan dan kesatuan kaum di Malaysia. Perkara ini telah dibuktikan sejak sekian lama kerana melalui perpaduan yang kukuh dan persefahaman kaum yang kuat dalam kalangan masyarakat, suasana politik dan sosial juga turut stabil sekali gus merancakkan lagi sektor ekonomi negara. Secara tuntasnya, inilah berkat hasil bahasa Melayu yang dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini sejak awal tahun 70-an.Selain itu, Bahasa Melayu juga telah memperkasa anak watan dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi sekali gus dapat melahirkan golongan kelas menengah yang menjadi sinergi dan sumber manusia yang terus menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara.






Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai lingua franca dan juga bahasa kedua akhirnya menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan, bahasa pentadbiran dan bahasa yang dapat mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Oleh hal yang demikian,bagi memastikan semangat dan kecintaan terhadap kepentingan dan kemampuan bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu dan wahana merealisasikan Gagasan 1 Malaysia, usaha promosi harus dipergiat dari semasa ke semasa. Contohnya sepertimana yang  telah diutarakan oleh  pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang meletakkan  tiga matlamat ke arah mempertingkatkan kembali martabat dan kedudukan bahasa Melayu.
Antara matlamat yang diingini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah mengembalikan maruah dan wibawa bahasa Melayu sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi sosial untuk kehidupan moden dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengucapan budaya tinggi.
Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi apabila rata-rata anak-anak berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah, majikan dan pekerja berkomunikasi di pejabat bahkan urusan jual beli di pasar raya juga kita sering mendengar bahasa Melayu diujarkan.
Kesimpulannya, Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri adalah selangkah di hadapan kita. Perbezaan bahasa bukan lagi penghalang ke arah usaha murni kerajaan ini kerana kita adalah satu bangsa, satu bahasa dalam Gagasan 1 Malaysia. Bersama kita menyokong usaha DBP ke arah pencapaian 1 Malaysia.





4.    HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA SABAH DAN SARAWAK
Kedudukan istimewa orang Melayu bukanlah sesuatu yang baru. Sebagai bukti, perkara ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948. Peruntukan ini diwujudkan bertujuan menjaga hak orang Melayu sebagai penduduk asal negara. Peruntukan ini juga bertujuan mempertingkatkan kemajuan orang Melayu yang ketinggalan dalam semua bidang kehidupan, supaya setaraf dengan kaum bukan Melayu yang lebih maju. Sebelum perjanjian ini ditubuhkan, pihak British telah memperkenalkan Malayan Union yang sekaligus telah melenyapkan kekuasaan Raja-Raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu, malah hak kerakyatan secara jus soli kepada orang bukan Melayu adalah dianggap percubaan menghapuskan hak dan masa depan orang Melayu. Oleh hal yang demikian, orang-orang Melayu melakukan penentangan secara meluas. Disebabkan penentangan yang sangat hebat daripada orang Melayu, pihak British telah membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Menyentuh tentang hak-hak keistimewaan orang Melayu, sejarah awalnya bermula dengan rungutan-rungutan dan desakan-desakan yang dibuat oleh raja Melayu dalam sidang durbar yang bermula dalam tahun 1897 di Kuala Kangsar. Sekitar tahun 1913, pelbagai enakmen untuk melindungi tanah orang Melayu mula diluluskan. Meskipun surahanjaya Reid tidak bersetuju dengan cadangan UMNO dan perikatan supaya kedudukan ini dikekalkan, parti yang memerintah berpendapat bahawa pandangan surahanjaya tersebut tidak dapat diterima. Selepas 1971, peruntukan ini dipinda dan diperluaskan untuk meliputi kedudukan rakyat asal Sabah dan Sarawak. Oleh hal yang demikian, perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956. Perlembagaan itu kemudiannya berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Di dalam Perlembagaan Malaysia, terdapat beberapa kriteria yang diketegorikan sebagai orang Melayu. Antaranya ialah individu yang lazimnya bertutur dalam Bahasa Melayu, menganut agama Islam dan juga mengamalkan adat istiadat Melayu. Manakala, semua suku kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak di kira sebagai bumiputera dan layak menerima hak keistimewaan seperti yang terkandung dalam perlembagaan. Terdapat beberapa rasional tertubuhnya Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Hal ini adalah untuk mengabil kira semangat persefahaman, toleransi, berkongsi kuasa dan sedia berkorban dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu ketika penggubalan perlembagaan. Hal ini juga berkaitan dengan intipati kontrak sosial yang sebelum ini telah dilaksanakan.
Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam menjaga hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera bagi negeri-negeri Borneo serta kepentingan-kepentingan yang lain mengikut peruntukan perkara tersebut. Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, perniagaan dan kemudahan khas lain yang diperlukan. Namun begitu, perkara ini dilaksanakan tanpa melakukan penindasan kepada kaum-kaum lain. Sebagai contoh, hak istimewa seseorang yang berbangsa Melayu tersebut tidak dapat diberikan sekiranya terdapat kaum lain yang lebih berkelayakan dan sudah menerima biasiswa yang ditawarkan. Tiada penarikan semula biasiswa yang telah ditawarkan kepada kaum yang berlainan walaupun terdapat orang Melayu yang memohon mendapatkan biasiswa tersebut.
Bagi perkhidmatan awam, Yang di-Pertuan Agong menentukan rezab bagi orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan tersebut yang baginda fikirkan perlu. Namun begitu, layanan yang sama rata tetap diberikan kepada setiap kaum dari segi kenaikan pangkat, gaji dan kebajikan yang lain. Hal ini ialah satu tindakan yang rasional kerana pada zaman penjajah orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak hanya mempunyai peluang yang sedikit untuk menganggotai perkhidmatan awam. Dengan ini, semua kaum dapat berkerjasama di bawah satu bumbung dan belajar untuk berkerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kecemerlangan bidang yang diceburi. Selain itu, dengan terbentuknya Perkara 153 ini, hak orang Melayu dan  bumiputera Sabah dan Sarawak akan terbela dengan mengimbangi jumlah perkerja pelbagai kaum yang menganggotai perkhidmatan awam.
Di samping itu, dengan tertubuhnya Perlembagaan Malaysia, mampu memperbetulkan keseimbangan ekonomi antara orang Melayu dengan bukan Melayu. Semasa zaman penjajahan British, kebanyakan sumber ekonomi dieksplotasi oleh kaum Cina. Kaum Melayu hanya dijadikan buruh-buruh yang bekerja sebagai petani, nelayan mahupun buruh. Perkara 153 dilihat dapat membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memajukan diri. Hal ini kerana, sekiranya orang Melayu mahupun bumiputera memohon pinjaman bank, permohonan  mereka akan diproses terlebih dahulu. Walaupun begitu, permohonan kaum lain tidak sesekali diabaikan sekiranya mereka memenuhi kriteria yang diperlukan. Secara tidak langsung, jurang antara bangsa melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dengan kaum-kaum lain dapat dirapatkan dan melahirkan masyarakat majmuk yang murni.
Dalam sistem pendidikan, orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak juga mendapat keistimewaan mereka yang tersendiri. Hal ini kerana, sistem pendidikan tinggalan penjajah suatu ketika dahulu telah membiarkan golongan ini keciciran dalam pembelajaran. Dengan tertubuhnya Perlembagaan Malaysia, secara tidak langsung hak-hak orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak ini terbela. Hal ini terbukti apabila kuota kemasukan orang Melayu dan bumiputera ialah lebih banyak daripada kaum lain untuk ke sekolah berasrama penuh. Walaupun begitu, kedudukan kaum lain tidak terjejas. Kerajaan tidak sekali-kali menghapuskan sekolah Cina dan Tamil untuk memberi peluang kepada mereka meneruskan pengajian. Toleransi antara kaum juga menyebabkan pemberian pendidikan diberikan kepada semua kaum menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi pinjaman kepada semua untuk pembiayaan kos pendidikan. Oleh hal yang demikian, tiada rasa tidak puas hati akan wujud dalam kalangan rakyat yang pelbagai di Malaysia.
Kesimpulannya, pelbagai cara yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membentuk masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya kita mempunyai kesedaran dalam menjayakan program yang telah dirancang dan juga bertanggungjawab bagi memastikan negara terus aman dan damai.
 


aku laaaaa
zul
tel.:
fax: